Mahasiswa usah terlalu sensitif
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my
LEBIH BAIK...perbincangan telus, bebas dan menjamin hak semua pihak
untuk bersuara antara langkah terbaik meredakan pertikaian. - Gambar
hiasan
JANGAN MUSNAHKAN MASA DEPAN...tindakan seperti ini hanya akan
menjatuhkan maruah mahasiswa sebagai golongan intelektual. - Gambar
hiasan
MEMANG tidak habis-habis isu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU),
lepas satu timbul pula desakan mahasiswa yang mahu akta itu dimansuhkan
sepenuhnya dengan alasan sudah tidak relevan pada alaf baru.
Mereka mendakwa pindaan yang dicadangkan kerajaan itu hanya ‘gimik’
pihak tertentu menawan hati mahasiswa, namun ia masih mengekang
pemikiran dan hak mereka bersuara dan berpolitik.
Justeru, mereka mahu AUKU dimansuhkan kerana ia lebih praktikal bagi
melonjakkan kemampuan dan sensitiviti sistem pendidikan moden.
Pindaan pula dianggap ‘hadiah’ kepada warga institusi pengajian tinggi
kerana keprihatinan itu bakal memberi peluang kepada mereka meneroka
alam pendidikan berlandaskan peraturan dan kawalan tertentu.
Sama ada pindaan atau pemansuhan, hakikatnya, AUKU terutama
seksyen 15C ( 3) memang mencetuskan provokasi tersendiri dalam kehidupan
warga kampus kerana ia melarang mahasiswa menyatakan sokongan, simpati
atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja.
Persoalannya, sama ada pindaan atau permansuhan, adakah AUKU masih relevan dalam era pendidikan moden hari ini?
Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar) Fakulti Sains
Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ahmad Zainudin Husin
berkata, mahasiswa perlu melihat secara waras mengenai AUKU tanpa
mengaitkan dengan sentimen tertentu.
Beliau berkata, penting
bagi mereka memahami bahawa akta itu bukan hanya menekankan seksyen
tertentu semata-mata, malah mencakupi aspek luas yang menyentuh pelbagai
peranan serta fungsi.
“Desakan mahasiswa supaya AUKU dimansuhkan tidak akan menyelesaikan masalah.
Ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan ‘berteriak’ atau berdemonstrasi.
“Ia lebih kompleks. Bukan mudah menghapuskan akta yang sudah sah
melalui proses perundangan, memperoleh kebenaran rasmi serta termaktub
dalam undang-undang negara. Ia tidak boleh dipinda atau dimansuhkan
sesuka hati.
“Pihak yang lantang bersuara perlu memahami situasi
ini. Ia tidak boleh diubah sekelip mata kerana ada proses panjang dan
rumit perlu dilalui,” katanya.
AUKU memang tidak pernah sunyi dengan polemik dan kontroversi sejak kewujudannya pada 1971.
Sudah mengalami beberapa pindaan, akta itu bagi segelintir pihak
menjadi batu penghalang dan mimpi ngeri jika mahasiswa ingin bebas
bersuara dan berpolitik.
Kemelut demi kemelut menjadikan AUKU
isu panas dan sensitif bagi mahasiswa hingga menyebabkan akta ini diberi
janji untuk dipinda lagi.
Bagaimanapun, pindaan itu tidak menarik hati segelintir mahasiswa, sebaliknya mahukan kebebasan penuh iaitu dimansuhkan.
Mereka menuntut universiti diberi kuasa autonomi untuk menggubal
undang-undang sendiri selari undang-undang perlembagaan tanpa campur
tangan birokrasi pihak luar.
Beliau yang juga pensyarah Jabatan
Sejarah UPSI berkata, tindakan itu akan memakan diri sendiri kerana jika
universiti menggubal undang undang baru, mereka juga memerlukan rujukan
akta tertentu sebagai panduan.
“Dalam konteks ini, universiti
tidak boleh sesuka hati mewujudkan undang-undang kerana selama ini
mereka tertakluk pada peraturan sedia ada.
“Biarpun diberi kuasa
autonomi, saya percaya mewujudkan undang-undang baru dengan
kepemimpinan sendiri tidak mudah. Ini perkara besar yang membabitkan
prosedur yang panjang.
“Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Jadi di manakah relevannya permintaan itu?” soalnya.
Beliau berpendapat, jalan terbaik untuk mengembalikan semula
keharmonian ialah dengan mengkaji akta berkenaan lebih mendalam
bersesuaian kehendak semasa, mahasiswa juga global.
“Ini lebih
baik daripada semua pihak ‘bermusuhan’. Dalam menangani AUKU,
kepentingan semua perlu diambil kira bagi menjamin hak dan meneruskan
kelangsungan sistem pendidikan negara dengan harmoni.
“Janganlah
kerana mengikut hati yang panas atau terpengaruh desakan pihak lain,
sistem pendidikan tinggi kita korbankan. Ini tidak betul dan boleh
menjejaskan masa depan generasi mahasiswa lain,” katanya.
Malah, untuk bertindak lebih adil, beliau menyarankan agar diwujudkan suruhanjaya untuk mengkaji aspek pelengkap AUKU.
Melalui suruhanjaya ini, katanya, semua pihak diberi akses bebas untuk menyuarakan pandangan sebelum keputusan dibuat.
“Cara ini lebih praktikal kerana kepentingan semua pihak diambil kira
dan tidak membelakangkan hak sesiapa pun. Beri kebebasan mereka untuk
melahirkan pandangan masing-masing selain disertakan fakta kukuh.
“Kata putus serta persetujuan diambil itu mampu menjernihkan kembali
ketegangan sedia ada. Ini menunjukkan mahasiswa golongan intelektual dan
bermaruah.
“Demonstrasi jalanan atau tindakan membuta tuli
hanya akan meletakkan mereka di tahap paling rendah. Saya nasihatkan,
jangan terlalu terburu-buru mengikut kata hati, kelak menyesal,”
katanya.
Mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad
Syukri Ab Razab pula tetap menegaskan, pemansuhan AUKU perlu
dilaksanakan kerana mengganggu pembentukan jati diri sejati mahasiswa
untuk mengikuti modul pendidikan sebenar.
Menurutnya, tiada
sesiapa berhak menghakimi tindakan mahasiswa yang mahukan AUKU
dimansuhkan kerana ia kehendak naluri sendiri yang mahukan keadilan
telus tanpa kerenah birokrasi.
“Malangnya, apabila mahasiswa
bersuara mengenai AUKU, semua pihak pasti mengaitkannya sebagai
propaganda pihak tertentu. Tidakkah mereka lihat itu naluri mahasiswa
yang sudah bosan dilayan bagaikan budak kecil dan sering
diperkotak-katikkan?
“Cukup dan usah mengaitkan mahasiswa dengan
mengatakan mereka diperkudakan pihak tertentu. Apa dilakukan ini adalah
kehendak sendiri kerana sudah lama tertindas dengan peraturan berat
sebelah.
“Sebagai generasi muda, mereka inginkan pembaharuan lebih praktikal.
Pemansuhan
ini bakal menjadi lembaran baru dalam dunia pendidikan moden hari ini,
sekali gus melahirkan wajah mahasiswa baru,” katanya.
Menafikan
pemansuhan itu juga, katanya, menyebabkan mahasiswa bertindak lebih
‘kurang ajar’, sebaliknya apabila universiti diberi kuasa autonomi
menggubalkan undang-undang sendiri, kehidupan mahasiswa lebih proaktif.
“Apabila mahasiswa merasakan apa dilakukan universiti salah, mereka ada
hak bersuara dan universiti pasti mengambil tindakan segera bagi
mengatasinya tanpa perlu merujuk atau mengikut telunjuk pihak tertentu.
“Tidak perlu lagi kami menunggu bagai buah tidak gugur apakah keputusannya.
Justeru,
tidak timbul isu mahasiswa bertindak lebih kuah dari sudu kerana semua
peraturan selari dengan undang-undang negara melainkan dilaksanakan
sepenuhnya oleh universiti.
“Kami tidak perlu berdepan kerenah
birokrasi peringkat tertinggi kerana universiti sendiri boleh menentukan
tindakan bakal diambil. Itu lebih telus, adil dan menyenangkan hati
kerana universiti pasti kenal hati budi mahasiswanya sendiri,” katanya
mengakui AUKU menjadikan mahasiswa naif merancang pembangunan jati diri.
“Bayangkan sejak mula menjejakkan kaki di universiti sudah disogokkan
dengan ‘kekebalan’ AUKU. Mereka tidak bebas melahirkan pendapat, tidak
berjiwa kental serta perlu mengikut ‘telunjuk’.
“Sedangkan
dunia memerlukan pelapis yang berfikiran kritis, berani melahirkan
pandangan serta menyahut cabaran. AUKU sudah tidak relevan dipraktikkan
kerana senario mahasiswa kini sudah berubah,” katanya.
Akuinya,
biarpun daripada 1.2 juta mahasiswa hanya tujuh peratus lantang
bersuara, tidak bermakna peratus selebihnya tidak peka.
“Yang
membezakan ialah tujuh peratus itu aktif dalam memperjuangkan hak
mahasiswa manakala selebihnya tunggu dan lihat sebelum membuat
keputusan.
“Paling penting, mereka nampak dan tahu apa perlu
dilakukan bagi memastikan tindakan atau hak tidak dicabuli, sekali gus
membantu merangka pemikiran luar kotak. Inilah generasi mahasiswa alaf
baru yang sebenarnya perlu dilahirkan.
“Bukan penakut atau mudah dipersendakan sesuka hati,” katanya.
0 COMMENTS:
POST A COMMENT