INTERAKSI ANTARA TAMADUN
Kepimpinan
Faktor ini merupakan
faktor terpenting yang mempengaruhi interaksi antara tamadun di Asia. Ini
kerana seandainya pemimpin atau raja bersikap adil dan toleran, maka interaksi
akan berlaku dalam aman dan damai. Fenomena sebaliknya akan berlaku seandainya
pemimpin bersikap kuku besi dan tidak bersikap toleransi kepada rakyat jelata.
Sejarah telah membuktikan dua sikap berbeza di kalangan para pemimpin seperti
contoh di bawah:
* Nabi Muhammad SAW:
Tidak menyekat orang Yahudi dan Kristian dalam pemerintahan Madinah, sebaliknya
hak mereka dilindungi undang-undang.
* Kerajaan Islam
Ghaznawi, Delhi dan Moghul di India: Bertoleransi kepada penganut Hindu malah
pegawai dilantik dari kalangan mereka.
Terdapat juga contoh
pemimpin yang tidak bertoleransi seperti yang dapat dilihat pada Sultan
Shamsuddin Altamish di India yang bertindak keras terhadap penganut Hindu.
Demikian juga dengan Han Wu Ti dalam Dinasti Han telah melaksanakan dasar
memihak kepada cendikiawan Konfusianisme berbanding sami Buddha.
Sikap Golongan Agama
Faktor ini menjadi
tunggak kepada kelangsungan hidup beragama secara harmoni. Golongan ini wujud
dalam setiap masyarakat beragama tamadun Asia. Golongan agama dalam Tamadun
Islam dimiliki oleh para ulama. Tamadun India yang berteras kepada agama Hindu
disandang oleh minoriti kasta Brahmin. Golongan agama dalam kepercayaan Buddha
pula didokong oleh sami. Golongan agama dalam fahaman Krisitian pula dikuasai
oleh paderi.
Kesemua golongan agama
berusaha mewujudkan suasana harmoni dan memberi penekanan sifat keinsanan.
Sebagai contohnya, sikap dan akhlak mulia yang dipamerkan ulama Islam di Alam
Melayu memudahkan berlakunya interaksi dan Islamisasi. Mereka telah berjaya
memberi tasawwur Islam (pandangan Islam) yang sebenar kepada penduduk Alam
Melayu. Mereka juga telah membentuk pendidikan formal dengan mendirikan
beberapa institusi yang dikenali dengan pelbagai nama seperti pondok,
pesantren, madrasah dan dayah (Acheh). Hasilnya, muncul ramai ulama di rantau
Alam Melayu seperti Hamzah Fansuri, Abdul Rauf al-Singkeli dan lain-lain.Walaupun
ada sikap sesetengah golongan agama yang mencetuskan konflik namun tragedi ini
tidak mengguris sedikit pun martabat agama dalam pemikiran masyarakat Asia.
Agama dan golongan penguasanya tetap berada pada kedudukan yang tinggi. Antara
contoh sikap golongan agama yang mencetuskan konflik seperti tindakan Paus
Urban II sama ada mengadakan perjumpaan besar-besaran dengan penganut Kristian
di Perancis pada tahun 1095 M. Beliau menyeru penganut Kristian supaya
memerangi orang Islam yang dikatakan bertindak zalim pada penganut Kristian.
Demikian juga sikap seorang pemerintahan Dinasti Han yang menangkap dan
memenjarakan segolongan sami dan penganut Buddha. Kedua-dua tindakan pemimpin
ini telah mencetuskan konflik dalam masyarakat.
Perdagangan
Aktiviti perdagangan
turut menjadi faktor penjalin interaksi antara tamadun. Sebagai contohnya
hubungan perdagangan yang berlaku antara Arab dan Cina melalui jalan darat dan
laut. Hubungan telah terjalin sejak 3 Masihi lagi dan semakin rancak pada abad 8
Masihi. Pedagang Arab dan Parsi telah membuat penempatan seperti di Kwang Cho
(Canton), Chang Chow dan Chuan Cow. Mereka juga telah mendirikan masjid di
Guangzhou dan Guanzhou. Situasi ini membuktikan berlaku Islamisasi di wilayah
ini.
Misi Politik
Faktor misi politik turut
menggalakkan berlakunya interaksi dalam suasana harmoni sebagaimana yang dapat
dilihat pada hubungan diplomatik antara Alam Melayu dengan Cina. Berdasarkan
catatan sejarah Melaka hubungan diplomatik dengan Cina telah terjalin sejak
tahun 1404 M. Pada tahun-tahun berikutnya, Melaka telah menerima beberapa
utusan dari Cina yang kemudiannya Melaka telah membalas utusan tersebut. Tujuan
Melaka mengadakan hubungan baik dengan Cina adalah untuk mendapat perlindungan
dari ancaman Siam. Persetujuan Cina terbukti dengan penghantaran Laksamana
Cheng Ho yang beragama Islam ke Melaka. Dasar perlindungan Cina terhadap
negeri-negeri di rantau Alam Melayu yang bertujuan politik secara tidak
langsung menggalakkan Islamisasi di rantau Alam Melayu. Perlindungan ini juga
memberikan impak yang sama kepada negeri-negeri di Kepulauan Melayu yang lain
seperti Kedah, Johor, Kampar dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment